Saturday, October 12, 2013

Restoran Nelayan Seafood | Seremban


1. Banyak diperkatakan oleh orang ramai tentang restoran ini. 
    Pelbagai reaksi didapati, ulasan dari banyak blog makanan 
    tempatan dan cakap-cakap dari orang ramai.

2. Aku yakin restoran ini dah lama beroperasi di Seremban, 
    melihat pada menu dan layanan kepada pelanggan, 
    maka terserlah tahap otai kedai ini.

3. Pada sekitar bulan Mac 2013, kami sekeluarga telah menikmati 
    hidangan di kedai ini kali pertamanya. Aku terlupa siapa yang
    mengesyorkannya. Sebaik aku dapat nama restoran ini, aku buat 
    cari di Google, nyata banyak rebiu restoran ini di blog-blog. 
    Agak ketinggalan!

4. Punca sebenar pencarian ini adalah disebabkan ada sesuatu
    yang istimewa di restoran ini. Deretan menu masak lomak cili 
    api yang disediakan memang menggamit nafsu makan manusia. 
    Lebih istimewa pelbagai makanan pelik tersedia - Daging landak, 
    daging rusa, ayam kampung, tembusu, kulit lembu dan 
    macam-macam lagi. itu yang specialnya.

5. Berikut adalah senarai menu yang kami pilih;
           * Masak Lemak Siput Sedut
           * Masak Lemak Ayam Kampung
           * Masak Lemak Daging Bakar + Cendawan Gerigit
           * Ayam Kampung Goreng
           * Masak Lemak Tembusu (Usus Besar Lembu)
           * Masak Lemak Ikan Talapia
           * Masak Lemak Ikan Keli Bakar
           * Tempoyak + Sambal Belacan + Budu
           * Ulam-ulam (Petai paling penting!)

6.  Tiada landak dan tiada rusa dalam pilihan menu kerana ketika itu 
     landak dah habis, manakala rusa juga tidak kelihatan ketika itu. 
     Secara jelas, menu eksotik tersebut sememangnya menu pilihan 
     orang ramai.

7. ML siput sedut ini pilihan mak mentua. Pada aku agak biasa, 
    kerana di Johor Bahru pun menu tersebut tidaklah asing. 
    Siput sedut boleh didapati dimana -  mana. Yang berlain mungkin
    rasa lemak cili padi yang dimasak dengan campuran yang baik.

8. Menu paling KILL!!! semestinya ML daging bakar dengan 
    cendawan gerigit. Pada sesiapa yang tak kenal cendawan ini, ia
    merupakan cendawan yang biasa hidup di batang pokok getah.
    Bersaiz kecil dan biasanya dijemur dahulu supaya tempoh hayat
    lebih lama. Kampung aku di Pontian dulu memang banyak.
    Sekarang kalau jumpa memang Jackpot la. Komposisi daging
    dengan cendawan ini memang seimbang dilawan dengan masakan
    lemak cilipadi yang menyegat. Terasa di tekak...

9. ML ikan keli bakar dan talapia pada tahap yang baik dan sedap.
    Menu yang tidak mengecewakan. Masakan ikan talapia ini 
    dicampur dengan biji terung pipit bagi menambah karakter 
    masakan. Tiada bau hanyir ikan air tawar. Ikan keli bakar
    memang cara masak yang sepatutnya dilakukan oleh semua.
    Ikan keli belaan penuh dengan makanan tanpa asal-usul yang jelas.
    Dedak dan entah apa lagi, maka dengan membakarnya sekurang-
    kurang rasa asap itu boleh membuatkan kita melupakan sejarah
    ikan keli di kolam belaannya.

10. Rasa yang paling dinantikan semestinya tembusu. Aku berkali-
      kali bertanya kepada pelayan kedai, apa benda tembusu ini?
      Berkali-kali dia menjawap - usus lembu, usus lembu.
      Usus ayam digoreng aku pernah makan masa kecil dulu.
      Usus lembu ini memang agak pelik, istilah tembusu juga baru 
      aku fahami pada hari itu.

11. OK! Tembusu ini ialah usus besar lembu selepas / sebelum perut.
      Menurut mak mentua, ianya sangat sukar dibersihkan dan jika 
      bukan yang pandai membersihkan, bau-bauan odor isi perut 
      lembu pasti akan berlegaran dalam masakan. Aku boleh bayang
      betapa sukarnya masakan ini. 

12. Rasa masakan tembusu ini juga bukan kepalang. Lembu berkrim.
      Berselaput diluar dan lembut, berkrim dan berjus dibahagian dalam.
      Sah ianya menu yang terbaik. Memang padan dengan masakan
      lemak cilipadi. Bagi penjelasan - tembusu seakan-akan mempunyai
      tekstur telur ikan dan babat.

13. Sambal tempoyak, sambal belacan dan budu disediakan dengan 
      betul dan bukan ala kadar. Memang berperisa dan bersih.
      Bila disekalikan dengan ulam-ulam kampung (oh ye... ada ke ulam 
      bandar? ada... salad dan kobis kot) memang rasanya mengeluarkan
      taji dan taring.

14. Restoran Nelayan Seremban memang restoran yang punya karakter
      dan punya rasa tersendiri walau kami baru pertama kali. Tempat 
      yang agak terpencil dan bersendirian tetapi tidak mengecewakan.

15. Harga disini berpatutan dan kena dengan rasa. Mungkin agak tinggi
      bagi sebahagian pendapat. Cuma perlu berhati-hati agar tidak 
      mengambil sesuatu yang berlebihan dan tidak dikehendaki. Oh ya,
      air disini - air asam limau memang segar. Lawan terbaik untuk 
      masak-masak lemak ini semua.



1.  Disekitar Julai lalu, kami sekali lagi ke Restoran Nelayan.
     Ianya secara kebetulan sebaik sahaja pulang dari LCTT
     mengambil maid kami yang kembali dari beraya di kampungnya.

2. Atas perjalanan highway PLUS yang sesak, kami bergerak dari
    Sepang melalui jalan lama ke LBJ - Nilai - Seremban. Alang
    kepalang dah sampai ke Seremban, singgah sebentar ke
    Restoran Nelayan.

3. Menu kali ini;

            * Daging Salai Masak Lemak
            * Daging Landak Masak Lemak
            * Ayam Kampung Goreng
            * Ikan Puyu Masak Lemak
            * Ikan Patin Masak Lemak
            * Petai Jeruk (epik!)
            * Tempoyak + Sambal Belacan + Budu
            * Ulam-ulam
   
  
4. Kali ini lebih kepada nak merasa daging landak. Rasa
    daging landak ini tidaklah pelik mana pun. Biasa saja, 
    seperti lembu kambing, cuma mungkin sedikit bergelatin.

5. Ikan puyu juga agak menarik dengan rasa yang agak beza
    dengan ikan air tawar yang lain. Kasar rasa dagingnya.

6. Petai jeruk menjadikan hidangan kali ini lebih bahagia 
    bersama dengan ulam petai, kacang panjang dan bendir 
    celur.


7.  Bukanlah sesuatu yang manis untuk mengambil pinggan yang
     telah diselesaikan hidangannya. Tetapi takpelah kali ini untuk 
     menunjukkan betapa ssodapnyo.

8. Aku berani mengatakan bahawa apa-apa pun binatang yang nak
    dimasak lemak, memang sesuainya dibakar dahulu. Ira rasanya
    menjadi lebih berlain. Unik dan rasa asap itu sangat asing tetapi
    sesuai.

9. Cuma terfikir juga bagaimana restoran ini bernama Nelayan,
    jauh dari pantai, jauh dari tempat punggah ikan dan menunya pun
    tidaklah bersifat nelayan sangat. Itu pun bukanlah masalah besar.

10. Penilaian rasa           :     9/10
      Penilaian kebersihan :     6/10
      Penilaian layanan      :     7/10
      Penilaian harga         :     6/10
      Lokasi                     :     8/10


No comments:

Post a Comment