
Bismillah.
1. Masya-Allah, indahnya dunia apabila kita saling mengasihi. Nikmat Ilahi dan kupanjat kesyukuran atas kurniaan-Nya ini.
2. Hari berlalu dan kini anak sulungku, Ahmad Naufal mengadu kepada ku giginya sudah bergoyang. Ya, gigi susunya mahu tanggal. Aku periksa dan aku dapati gigi kekal sulungnya telah menampakkan tanda mahu keluar. Spontan aku berkata kepada aku - Nah, kamu sudah kian besar.
**Nayli Sufi memanggil abang-abangnya dengan panggilan sesuka hatinya;
Ahmad Naufal menjadi Bopal, Ahmad Muaz menjadi Miya
3. Naufal sungguh girang, sepanjang siang dan malam dia menunggu gigi bongsunya tanggal. Dia tidak sabar kerana dia mahu gelaran manusia yang besar ataupun lebih tepat dalam fikirannya dia menjadi orang dewasa. Dia menunggu giginya tanggal bagaikan menanti ketibaan hari raya. Dia tidak sabar mahu menjadi dewasa, alam hidup yang dia tidak mengerti. Jika dia mengerti semua, mengenal selut dan duri hidup ini pastinya dia tidak segirang itu.
4. Natijahnya pada diriku, masa berjalan seperti sebegitu. Jalan terus dan takkan undur walau sesaat pun. Betapa tanggungjawabku lebih besar untuk mendidik dan menjaga akidah diriku dan keluargaku. Sekejapan anak yang disambut lahirnya dulu telah memanjat usia dan kian dewasa sedangkan rasanya tangisan sewaktu lahir masih terngiang-ngiang lagi. Rasa gembira dan syukur masih melingkari nafas ini lagi. Hakikatnya masa terus berlalu.
5. Aku perlu bersedia. Aku perlu kekuatan lagi untuk menghadapi segala macam rencah hidup. Gigi susu Naufal ini adalah suatu pentanda bahawa hidup ini perlu dilalui dengan cara yang betul. Bermula sekarang.
6. Seorang bapa akan bercita-cita untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya dalam setiap hal. Memberikan segala-galanya untuk melihat anak-anaknya berjaya. Mahu mendidik anak-anaknya hingga masuk ke syurga. Itulah impian semua bapa.
7. Nyatalah, betapa besar kasih sayang seorang bapa - betapa besar tanggungjawab seorang bapa kepada anak-anaknya hanya akan dirasai dan diketahui tatkala kita menjadi bapa.


No comments:
Post a Comment