Wednesday, June 8, 2011

Gigi Susu Bopal




Bismillah.

1. Masya-Allah, indahnya dunia apabila kita saling mengasihi. Nikmat Ilahi dan kupanjat kesyukuran atas kurniaan-Nya ini.

2. Hari berlalu dan kini anak sulungku, Ahmad Naufal mengadu kepada ku giginya sudah bergoyang. Ya, gigi susunya mahu tanggal. Aku periksa dan aku dapati gigi kekal sulungnya telah menampakkan tanda mahu keluar. Spontan aku berkata kepada aku - Nah, kamu sudah kian besar.

**Nayli Sufi memanggil abang-abangnya dengan panggilan sesuka hatinya;
Ahmad Naufal menjadi Bopal, Ahmad Muaz menjadi Miya

3. Naufal sungguh girang, sepanjang siang dan malam dia menunggu gigi bongsunya tanggal. Dia tidak sabar kerana dia mahu gelaran manusia yang besar ataupun lebih tepat dalam fikirannya dia menjadi orang dewasa. Dia menunggu giginya tanggal bagaikan menanti ketibaan hari raya. Dia tidak sabar mahu menjadi dewasa, alam hidup yang dia tidak mengerti. Jika dia mengerti semua, mengenal selut dan duri hidup ini pastinya dia tidak segirang itu.

4. Natijahnya pada diriku, masa berjalan seperti sebegitu. Jalan terus dan takkan undur walau sesaat pun. Betapa tanggungjawabku lebih besar untuk mendidik dan menjaga akidah diriku dan keluargaku. Sekejapan anak yang disambut lahirnya dulu telah memanjat usia dan kian dewasa sedangkan rasanya tangisan sewaktu lahir masih terngiang-ngiang lagi. Rasa gembira dan syukur masih melingkari nafas ini lagi. Hakikatnya masa terus berlalu.

5. Aku perlu bersedia. Aku perlu kekuatan lagi untuk menghadapi segala macam rencah hidup. Gigi susu Naufal ini adalah suatu pentanda bahawa hidup ini perlu dilalui dengan cara yang betul. Bermula sekarang.

6. Seorang bapa akan bercita-cita untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya dalam setiap hal. Memberikan segala-galanya untuk melihat anak-anaknya berjaya. Mahu mendidik anak-anaknya hingga masuk ke syurga. Itulah impian semua bapa.

7. Nyatalah, betapa besar kasih sayang seorang bapa - betapa besar tanggungjawab seorang bapa kepada anak-anaknya hanya akan dirasai dan diketahui tatkala kita menjadi bapa.





Monday, June 6, 2011

Manusia Dinamika



Bismillah.

1. Aku sangat teringin menjadi manusia yang lebih baik. Ya lebih baik dari diriku sekarang. Manusia yang punya sahsiah yang terp
uji. Punya rekod cemerlang dalam ibadah. Mampu menyusun kehidupan harian yang lebih baik. Merancang sesuatu dengan teliti dan menepati masa.

2. Sebenarnya hakikat menjadi manusia hebat tidaklah sesukar mana. Tetapi bila ianya tidak sukar membuatkan kita sambil lewa. Bila kita alpa dalam sambil lewa itu, rupa-rupanya kita telah dibelakangi masa.

3. Pujangga berkata - ambil ilmu setiap yang baik dalam tulisan dan bukan perilakunya. Catatan dan ilmu dalam tulisan memang mudah. Ianya memang kita akui. Sukarnya adalah melaksanakan benda baik dalam setiap yang kita tulis. Manusia ini serba lemah - mahunya Melayu pula mudah lupa, bernasib baik ianya takkan hilang di dunia.

4. Aku amat pasti untuk berjaya kita perlu 2 benda;
i. Perancangan masa
ii. Tanggungjawab
ianya mudah bukan untuk difahami secara kasar. Namun ianya berkait rapat dengan keseluruhan disiplin diri.


5. Guruku pernah berpesan dan aku ingat hingga kini - untuk menjadi manusia hebat, kita perlu menjaga solat. Solat itu adalah pendisiplinan diri. Ianya menjadi pengawal fizikal dan nafsu. Dalam berseronok dengan nikmat dunia, kita diingatkan untuk solat. Dan nikmat dunia ini dilupakan sementara bagi menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

6. 5 waktu solat itu megajar kita merancang aktiviti kehidupan kita seharian. Dimana kita perlu berikan sedikit kerehatan dan berpada-pada dalam setiap yang kita jalani. Berikan sepenuhnya dan kita akan peroleh kebaikan dikemudiannya. Nyata solat mengajar kita merancang waktu - setiap hari. Yang paling penting - solat tepat pada waktunya.

7. Kita perlu kenal tanggungjawab kita, dan kita wajib melaksanakan tanggungjawab ini sebaik yang mungkin. Ikhlas itu memainkan peranan yang
penting. Jangan sesekali mengharapkan pujian atas setiap kebaikan kita kerana pujian boleh membunuh. Solat ini adalah perlaksanaan tanggungjawab. Tanggungjawab besar kita kepada Allah. Apalah gunanya menjadi manusia jika tidak mampu menggalas tanggungjawab. Tanggungjawab ini adalah amanah.

8. Mungkin aku tak sebaik manusia yang punya ciri yang aku tulis ini. Tapi jangan kita berhenti untuk menjadi manusia hebat, manusia dinamika.


9. Mungkin berikut adalah jadual kehidupan aku yang sepatutnya aku jalani.
5.00 am | bangun tidur dan mandi
5.30 am | solat tahajud
5.45 am | solat subuh berjemaah di musolla
6.15 am | berjogging / berbasikal
7.00 am | membaca Al-Quran
8.00 am | solat israq & dhuha
8.30 am - 6.00 pm | bekerja + berjumpa sahabat-sahabat
6.00 pm | beriadah bersama keluarga
7.00 pm | solat maghrib bersama keluarga
7.30 pm | mengajar mengaji & membaca Al-Quran
8.15 pm | solat isyak berjemaah di musolla
9.00 pm | masa pembelajaran bersama keluarga
10.30 pm | tidur.

10. Marilah kita sama-sama merancang dan melaksanakan kehidupan kita di dunia untuk akhirat.

Langkah Kanan




Bismillah.

1. Dalam 2 minggu ini, aku fikir perubahan dalam perjalanan karier dan kehidupan aku. Sesuatu yang drastik yang perlu dilakukan demi memastikan aku tidak terus kelesuan. Telah lama aku berfikir panjang lebar tentang hal ini. Pastinya harinya telah hampir tiba.

2. Betul. Aku kian lesu. Lesu dalam menghadapi sepak terajang orang-orang yang tidak selari dengan etika kerja aku. Lesu melayani kerenah pihak yang sentiasa tidak bersetuju dengan apa yang aku tindakan. Mereka yang cuba mengambil kelebihan dari kesilapan. Aku tidak bisa untuk tidak jujur dengan orang. Aku tidak boleh tidak jujur dengan nyawaku sendiri. Apatah lagi Allah Maha Melihat, esok kita akan dihisab.

3. Mungkin juga kini sudah masanya aku memikirkan tentang diriku. Aku sudah sampai masanya untuk mengoptimumkan kapasiti yang aku ada. Selama 3 tahun kebelakangan ini aku banyak menjalani karier yang aku tidak gembira dengan persekitarannya. Namun selagi boleh, kerana manusia tidak pernah sempurna, aku teruskan juga. Aku berkorban dan membantu kepada orang yang telah membantu aku.

4. Tetapi aku rasakan ianya sudah tiba masanya. Memang sudah tiba masanya. Detik hatiku telah berkata-kata. Makin terngiang-ngiang. Aku perlu berani untuk sekali lagi. Kerana jika aku tidak berani, khuatir kalau-kalau aku tak mampu lagi bertahan. Dan akhirnya aku tak bisa melakukan apa-apa lagi selepas itu. Mulakan sekarang.

5. Dan... bila aku membuat keputusan. Pastinya ianya keputusan yang punya risiko. Sebagaimana dahulu, 6 tahun lalu aku membuat keputusan yang sulit. Ianya pasti sesulit itu dan berisiko tinggi. Yang penting adalah sokongan keluarga. Sokongan rakan-rakan. Yang penting jalan perancangan ini jelas. Yang penting kuat kerja. Yang penting berdoa dan bertawakal. Rezeki itu kita serah kepada Allah.

6. Semoga keputusan yang dilakukan ini diberkati Allah. Langkah kanan! Amin.



Thursday, June 2, 2011

TLC!







Bismillah.

1. Setiap orang punya pandangan sendiri tentang kehidupan mereka. Apakah kekuatan hidup masing-masing. Matlamat hidup yang perlu dicapai dan bagaimana untuk mengolah kehidupan.

2. Minggu ini adalah antara minggu yang agak keras cabarannya. Beginilah jadinya bila semua benda mahu dibuat. Ahhh... aku hanya cuba untuk mencuba ketahap mana kemampuan yang aku ada selagi ada kudrat ini. Tapi memang bukan calang-calang dugaannya.

3. Mesin dan manusia bukanlah sesuatu yang layak untuk dibuat perbandingan. Tetapi dikira dari aspek pengurusannya, nyata mesin lebih mudah diurusi. Manusia sama hitam, hati lain-lain. Organisasi yang besar juga perlu ada jabatan sumber manusia, apatah lagi syarikat aku yang masih sedang berkembang ini. Lihatlah betapa sukarnya mengurus manusia.

4. Aku berdoa semoga kebaikan akan muncul disebalik segala kesilapan dan khilaf yang dilakukan. Aku percaya setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Aku kira aku juga perlu lebih cool. Oh ya... Alhamdulillah, semua pekerja dah siap gajinya. Tinggal lagi sub kontraktor dan pembekal.

5. Malam tadi aku dan keluarga ke kafe yang telah lama tak dikunjungi. Yew's Cafe di Taman Perling. Interior ruang restoran ini telah dilakukan pembaharuan. Lebih segar. Inilah perniagaan pro-aktif yang menawarkan pembaharuan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

6. Aku tak dapat sembunyikan keinginan untuk mencuba konsep restoran sebegini. Bersih dan segar ditambah dengan dendangan lagu-lagu jazzy sepanjang masa, juga TLC.